Bertudung Bukan Kerana Fesyen : Catriona Ross



Bukan kerana fesyen
Oleh Hartati Hassan

Basrihartati@hmetro.com.my

HATINYA berbunga-bunga menantikan siri Sakti Delima disiarkan di televisyen kerana ia lakonan pertamanya dengan penampilan bertudung dan selepas berehat panjang melahirkan anak sulungnya, Sephia Rania Ross-Iddin yang kini berusia 10 bulan.
Lebih membanggakan dirinya apabila drama arahan Azman Yahya atau Jinggo untuk slot Lagenda itu mengumpulkan enam pelakon bertudung kerana penerbitnya, Sheila Rusly ingin membantu pelakon yang ‘berhijrah’ untuk diberi peluang berlakon.
Ini disebabkan pelakon bertudung sering diperlekehkan penerbit dan pengarah hingga ada yang terpaksa membuka tudung untuk meneruskan bidang lakonan. Sebagai pelakon bertudung, Sheila memahami dilema dilalui pelakon yang mengambil keputusan untuk bertudung dan waktu sama meneruskan kerjaya lakonan. Bagaimanapun, kegembiraan Catriona Ross terbantut apabila baru empat episod bersiaran, drama itu dilarang penyiarannya oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) serta merta atas alasan ada unsur syirik, tahyul dan boleh memesongkan akidah umat Islam.
Katanya, dia teruja sangat menantikan siarannya untuk melihat reaksi penonton terhadap lakonan pertamanya tampil bertudung. Watak dijayakannya juga berbeza kerana kali pertama pegang watak antagonis sebagai permaisuri.
“Saya terima tawaran Sheila kerana tertarik dengan watak ditawarkan selain menyenangi sikapnya yang menghormati penampilan saya yang kini bertudung. Sebenarnya, sebelum ini ada beberapa tawaran saya terima tetapi meminta saya buka tudung untuk muncul dalam drama mereka. “Saya tegaskan kepada mereka, saya bertudung bukan kerana fesyen tetapi inilah penampilan saya kini selepas diberi hidayah untuk berhijrah ke arah lebih baik. Tapi saya kesal kerana ada pihak memperlekehkan penampilan ini dengan meminta saya membuka tudung. “Ada empat tawaran yang saya tolak kerana permintaan ini. Saya kesal kerana mereka tidak menghormati langkah saya untuk berubah sebaliknya memperlekehkan dengan pertanyaan boleh buka tudung atau tidak. Bagi saya rezeki daripada Allah dan tidak pernah rasa dengan bertudung saya tidak boleh meneruskan kerjaya lakonan,” katanya. Catriona yang ditemui di majlis pelancaran tudung Aida Khalida baru-baru ini mengakui, penampilan barunya ini turut membuka pekerjaan baru buatnya apabila sering menjadi pengacara untuk majlis kahwin atau majlis pelancaran seperti hari itu. “Apabila dimaklumkan siarannya dihentikan, saya terfikir ada orang sabotaj drama ini hingga buat aduan kepada LPF. Lebih menyedihkan apabila Sakti Delima dianaktirikan kerana banyak lagi drama yang pernah disiarkan menerusi slot itu terlepas daripada hukuman sama, walaupun banyak babak yang lebih teruk. “Bukan saja drama lain untuk slot itu malah sinetron dari seberang seperti Bawang Merah Bawang Putih yang mendapat banyak kritikan kerana banyak paparkan babak tidak masuk akal tetapi tetap disiarkan sampai beratus-ratus episod,” katanya. Apapun kata Catriona, ada hikmah di sebalik semua apa yang berlaku kerana difahamkan ia akan disiarkan semula pada Mac nanti. Tentunya orang ramai ternanti-nantikan siarannya. Katanya, dia juga baru mendapat tawaran berlakon daripada Sheila untuk slot Akasia tetapi belum mendapat skrip lagi. “Saya suka bekerja dengan produksi Sheila kerana mudah bekerja dengannya dan faham dengan tuntutan untuk berhenti seketika untuk mengerjakan solat. Jadual penggambaran disusun sebaiknya supaya ada waktu untuk menunaikan solat Zuhur dan Asar,” katanya. Dalam majlis pelancaran itu, Aida Khalida yang turut berlakon dalam Sakti Delima cuba mengumpulkan rakan artis bertudung untuk memeriahkan majlisnya terutama enam pelakon Sakti Delima. Turut hadir, Safura Yaacob manakala tiga lagi pelakon lain, Liza Hanim, Sheila dan Bienda tidak dapat hadir. Turut menyerikan majlis itu, bekas model, pelakon dan penyanyi, Noor Kumalasari, pelakon dan penerbit, Ziela Jalil dan Wan Nor Azlin. Aida Khalida, 53, yang sebelum ini dikenali sebagai Aida Rahim kemudian Aida Radzwill, kini makin selesa dengan nama barunya itu ditambah pula dengan jenama tudung sendiri. Katanya, impian mempunyai koleksi tudung sendiri sudah lama terpendam dan baru kini menjadi kenyataan. Terima kasih kepada Galeri Muslimah Sdn Bhd yang sudi bekerjasama untuk merealisasikan impiannya itu. “Saya mula bertudung pada 2008 dengan membeli tudung dan disesuaikan dengan cita rasa saya. Walaupun bertudung, saya juga ingin tampil cantik kerana saya memang pentingkan penampilan sejak dulu lagi. “Waktu sama, saya memasang impian untuk mempunyai koleksi tudung sendiri untuk dikongsi bersama semua. Kini impian itu menjadi kenyataan dan buat permulaan, ada 15 koleksi yang menjadi pilihan. “Saya juga mula menggayakan koleksi tudung saya ini dalam drama yang saya lakonkan sebagai promosi awal dan ramai bertanya di mana saya beli. Kini mereka boleh dapatkan koleksi tudung saya ini,” katanya. Aida mengakui, tawaran berlakon tidak terjejas dengan penampilan bertudung sebaliknya lebih banyak berbanding sebelum bertudung. “Terbaru, saya berlakon Begitukah Cinta terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd untuk slot Akasia. Saya juga ada melalui pengalaman ditawarkan berlakon oleh produksi dan meminta saya membuka tudung tetapi saya tolak secara baik. “Saya anggap mereka tidak faham dengan tuntutan agama dan mendoakan mereka dibuka pintu hati untuk memahami perkara itu. Ada juga sarankan saya pakai rambut palsu menggantikan tudung tapi mereka juga lupa pakai rambut palsu juga berdosa. Tapi saya yakin dengan rezeki diberikan Allah. Pelakon yang bertudung perlu yakin dengan itu dan sabar dan tabah hadapi dugaan itu. “Walaupun bertudung, masih boleh dapat tawaran watak mencabar dan berbeza seperti wanita garang tetapi tidak perlulah tampilkan watak kejam dan jahat sangat tapi watak garang yang ada sebab,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen yer! :)

Recent Posts

Popular Posts

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Minima 4 coloum Blogger Template by Beloon-Online.
Simplicity Edited by Ipiet's Template